Wednesday 5 September 2012

ULASAN ARTIKEL ISU PENYALAHGUNAAN DADAH OLEH GURU


GURU TERBABIT DADAH,
KURANG DISIPLIN TAK LAYAK JADI PENDIDIK
OLEH :
SYARIFAH NADIA BT SYED MANSHOR

Penyalahgunaan dadah adalah masalah yang paling ketara dan amat membimbangkan dan perkara ini jika tidak dicegah sebelum merebak ke seluruh masyarakat terutama kepada golongan belia sudah tentu kemajuan, keamanan serta kemakmuran sesebuah negara itu akan tergugat. Seperti sedia maklum, sesiapa sahaja yang telibat dengan masalah penyalahgunaan dan pengedaran dadah amatlah serius terutamanya jika melibatkan seseorang yang bergelar guru. Hal ini kerana dadah merupakah musuh nombor satu Negara.

Dadah atau ‘Drug’ dalam bahasa Inggeris lazimnya diertikan sebagai ubat-ubatan. Perkara yang paling penting mengenai dadah ialah ianya selalu disalahguna atau ‘misuse’ dan ‘abuse’. Selain itu, dadah juga bermaksud bahan yang digunakan untuk merawat penyakit, mengurangkan simptom atau mengubasuai proses kimia di dalam badan untuk tujuan-tujuan tertentu. Walau bagaimanapun, bukan semua bahan yang dimakan dianggap dadah. Misalnya, makanan yang dimakan secara normal tidak dianggap sebagai dadah melainkan makanan tersebut diambil khas untuk tujuan tertentu, contohnya kafeina sebagai perangsang. Secara umumnya, dadah bermaksud sebarang bahan kimia yang psikoaktif, samada berbentuk asli atau tiruan, apabila dimasukkan ke dalam tubuh badan secara disuntik, dihidu, dihisap atau dimakan boleh mengubah fungsi tubuh badan seseorang atau organisma dari segi fizikal atau mental. Dadah boleh dibahagikan kepada lima bahagian iaitu Narkotik atau Opait (Heroin, Morfin, Candu, Kodien & Metadon). Bahagian yang kedua ialah Perangsang atau Stimulants (Amfetamin, Methamfetamin, Ecstasy & Kokain) dan bahagian yang ketiga ialah Penekanan atau Depressants (Barbiturat, Trankuilizer, Alkohol). Manakala bahagian keempat ialah Hallucinogen (LSD, PCP, Meskalin, Psilosibin) dan bahagian yeng kelima ialah Cannabis (Ganja, Hashish & Marijuana)

Sebagai guru yang berintegriti, amatlah tidak relevan jika mengambil dadah dan yang paling membimbangkan guru itu sendiri menjual dadah tersebut kepada para pelajar. Walaupun ia merupakan jalan yang paling mudah dan pintas untuk mendapatkan wang tetapi guru adalah rol model kepada pelajar dan dadah boleh membahayakan diri seseorang. Jika guru adalah idola, tetapi tidak mempunyai tingkah laku dan disiplin yang bersih, bagaimana mahu mendidik pelajar menjadi insan berguna dan cemerlang. Jika diamati, perkara ini jika dibiarkan, lama kelamaan akan menjadi bertambah serius kerana jelas mencemarkan imej profesionalisme bidang perguruan dan akan merosakkan masa depan serta potensi pelajar.
           
Pembabitan guru dalam kegiatan najis dadah telah menconteng arang dalam kalangan guru. Bilangan guru yang terlibat semakin hari semakin bertambah bukan sahaja di kawasan bandar tetapi di kawasan luar bandar. Pihak kementerian seharusnya menghentikan perkhidmatan serta merta guru yang melanggar etika perguruan dan tiada lagi pertimbangan seperti memindahkan guru dari kawasan bandar ke kawasan luar bandar atau menurunkan pangkat mereka. Oleh sebab itu, cara pemilihan guru perlu diperketatkan dengan mengadakan beberapa saringan keutuhan supaya mereka yang ingin menjadi guru benar-benar memenuhi Standard Guru Malaysia. Hari ini bilangan guru yang bermasalah semakin bertambah dengan penglibatan sesetengah mereka dalam kancah najis dadah, pelacuran, skandal seks dan sebagainya. Sewajarnya Bahagian Pengambilan Guru memasukkan ujian air kencing, ujian kecergasan, ujian tingkahlaku dan lain-lain yang perlu dalam pemilihan guru dan mana-mana calon yang didapati gagal dalam salah satu ujian tersebut, tidak layak menjadi guru. Apa yang berlaku sekarang ialah cara pemilihan yang sangat mudah di mana calon hanya mengisi borang, kemudian jika SPM, atau STPM bagus maka mereka dipanggil untuk Ujian Bertulis dan jika lulus ujian bertulis mereka akan dipanggil untuk temuduga.
           
Masalah penyalahgunaan dan pengedaran dadah telah menjatuhkan maruah guru kerana profesion keguruan dipandang tinggi oleh masyarakat. Guru bertanggungjawab dalam mencorak dan mendidik anak bangsa, maka tidak relevan jika terdapat mana-mana guru yang terlibat dengan kes seperti ini. Oleh sebab itu, sebagai seorang guru, kita tidak patut terlibat dengan masalah seperti ini kerana ia akan menghilangkan kepercayaan masyarakat terutamanya ibu bapa terhadap guru-guru dalam mendidik anak-anak mereka. Sebagai ibu bapa, mereka telah menghantar anak-anak mereka ke sekolah untuk tujuan mendapat pendidikan daripada guru-guru tetapi jika guru bermasalah maka anak-anak mereka juga mungkin akan bermasalah juga.
           
Sehubungan itu, jika terdapat guru yang terlibat dalam kancah pengedaran dan penyalahgunaan dadah mungkin adalah kerana tekanan atau depressi kerja. Isu bebanan kerja guru juga kemungkinan menjadi salah satu faktor mengapa guru terlibat dengan masalah ini. Akibatnya, mereka tidak mempunyai masa yang tersendiri untuk beristirehat dan melakukan hobi yang digemari. Tekanan ini akan mendorong mereka mengambil dadah kerana kononya ingin mencari ketenangan jiwa. Mereka berpendapat bahawa pengambilan dadah dapat mengurangkan tekanan yang dihadapi oleh mereka dalam sekelip mata sahaja.

Di samping itu, mereka mungkin dipengaruhi oleh rakan-rakan mereka. Hal ini mungkin kerana ingin menjadi cepat kaya seperti rakan mereka, maka mereka mengambil jalan pintas dengan mengedar dadah. Justeru mereka sudah mempunyai pembekal dan mereka hanya perlu mengeluarkan modal dan menjualnya kepada orang lain. Dengan jualan harga yang tinggi, lama kelamaan guru tersebut akan menjadi cepat kaya dan jika mereka mengalami keterhutangan yang serius daripada peminjam wang tidak berdaftar sekaligus mereka boleh menyelesaikan hutang-hutang mereka berbekalkan wang hasil daripada penjualan dadah tersebut. Oleh itu, pemilihan rakan yang sesuai haruslah dilakukan dengan bijaksana oleh sesiapa sahaja. Sekiranya rakan sebaya mereka terlibat dalam pengambilan dadah, secara tidak langsung mereka sendiri akan terikut-ikut dengan sikap rakan mereka. Budaya ini harus dikikis kerana ianya hanya akan menyebabkan gejala ini menjadi lebih serius.

Sehubungan itu, kurangnya pendidikan agama telah menyebabkan guru terbabit sesuka hati melakukan perkara yang telah dilarang oleh agama. Hal ini kerana mereka tidak sedar apakah peranan mereka sebagai seseorang yang digelar guru. Pekerjaan seorang guru adalah pekerjaan yang paling mulia disisiNya dan dan dipandang tinggi oleh masyarakat selain pekerjaan seorang doktor. Oleh itu, pendidikan agama amatlah penting bagi menghalang atau menghindari dari perbuatan yang dianggap hina di sisi Islam.
           
Terdapat pelbagai langkah untuk menghindari dari kegiatan penyalahgunaan dadah. Antaranya ialah pihak pentadbir sekolah perlu selalu turun padang dan mengenalpasti guru-guru serta para pelajar yang teribat dengan penyalahgunaan dan pengedaran najis dadah. Hal ini kerana jika pihak pentadbir  menganggap perkara ini tidak serius dan hanya sambil lewa sahaja maka masalah ini lama kelamaan akan menjadi semakin serius dan kemungkinan tidak dapat dibendung lagi. Selain itu, pihak pentadbir tidak boleh menyembunyikan perkara ini jika mengetahui terdapat guru atau pelajar yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah tersebut kerana ingin menjaga nama baik dan reputasi sekolah. Jika dibiarkan ia akan berlarutan dan semakin ramai lagi pelajar yang akan menjadi mangsa dek kerana guru yang terlibat dengan dadah tersebut akan bergiat cergas untuk meneruskan penjualan dadah kepada pelajar-pelajar lain . 

Sehubungan itu, pihak kerajaan disarankan agar mengenakan hukuman yang berat terhadap pengedar dadah misalnya dengan memberikan hukuman mati (gantung). Hal ini adalah kerana tanpa pengedar dadah ini sudah tentu penagih akan sukar memperolehi bekalan dadah. Begitu juga kepada penagih dadah mereka perlu dikenakan hukuman yang berat. Sebagai contoh, hukuman bagi penyalahgunaan dadah jenis ‘Syabu’. Kesalahan mengedar dadah Syabu iaitu antara 20 gram hingga 50 gram (di bawah seksyen 3 (a) Akta Penyalahgunaan Dadah, Penggal 27). Hukuman minima adalah 20 tahun penjara dan 15 kali sebat dan  hukuman maksima pula adalah 30 tahun penjara dan 15 kali sebat.  Jika melebihi daripada 50 gram akan dikenakan hukuman mati (gantung). Manakala kesalahan bagi memakan dadah Syabu di bawah Seksyen 6 (b) Akta Penyalahgunaan Dadah Penggal 27, boleh dijatuhkan hukuman maksima 10 tahun penjara atau $20,000.00 atau kedua-duanya sekali. Guru yang sah jika disabitkan kesalah terlibat dengan penyalahgunaan serta pengedaran dadah hendaklah terus dihentikan perkhidmatan kerana ia menjejaskan kewibawaan institusi pendidikan di negara ini. Ibu bapa pelajar yang terlibat dengan dadah juga perlu dihubungi dan bekerjasama dalam menyelesaikan masalah ini bersama-sama pihak sekolah ataupun pihak-pihak lain yang terlibat seperti polis dan sebagainya.

Selain itu, pihak sekolah terutamanya mahupun pihak yang berkenanaan sama ada kerajaan mahupun swasta perlu melaksanakan pendidikan untuk mencegah dari penyalahgunaan dan pengedaran dadah. Sebagai contoh, dengan mengadakan aktiviti-aktiviti seperti ceramah, seminar, pameran dan sebagainya. Hal ini bertujuan untuk memberi informasi, pengetahuan serta kefahaman kepada masyarakat terutama golongan remaja tentang bahaya dadah dan kesedaran mereka terhadap najis dadah. Selain itu, pihak yang berkenaan boleh mengadakan aktiviti ko-kurikulum seperti perkhemahan, motivasi dan sebagainya untuk membolehkan masa terluang pelajar serta guru diisi dengan aktiviti-aktiviti yang berfaedah serta mereka tidak hanya membuang masa begitu sahaja dengan melakukan aktiviti yang tidak bermanfaat.

            Kesimpulannya, sebagai guru kita seharusnya menunjukkan contoh serta tauladan yang baik kerana guru merupakan insan yang dianggap mulia oleh masyarakat. Malah guru juga dipandang tinggi dan apa sahaja perbuatan guru diperhatikan dan diikuti oleh masyarakat. Dengan itu, perbuatan seperti penyalahgunaan dan pengedaran dadah amatlah tidak wajar jika melibatkan seorang guru yang diamanahkan oleh ibu bapa untuk mendidik anak-anak mereka menuju ke jalan yang diredhai olehNya. Jika seseorang guru itu mempunyai masalah, maka beliau tidak seharusnya mencari jalan pintas dengan melibatkan diri dalam kancah-kancah yang tidak diingini kerana perbuatan tersebut adalah salah di sisi undang-undang dan agama. Sebagai seorang guru, kita mestilah berfikiran positif dan dapat menilai antara kaca dan permata. Justeru guru hendaklah mendidik anak bangsa menjadi insan yang berguna dan menunjukkan nilai-nilai positif kepada masyarakat terutamanya para pelajar. Selain itu, guru juga perlu mempunyai sahsiah yang baik dan memenuhi etika bagi memartabatkan profession perguruan. Namun begitu, terdapat beberapa faktor dan mekanisme yang mengawal tingkahlaku manusia. Faktor-faktor tersebut ialah keperluan kehidupan, nilai-nilai hidup, penguatkuasaan undang-undang, pendidikan agama dan budaya kerja. Seharusnya, guru dapat mematuhi etika perguruan dan memiliki sahsiah yang baik ketika melaksanakan tugas mulia ini. Untuk penambahbaikan, guru perlu melakukan muhasabah diri dengan cara menilai diri, menghitung kebaikan dan keburukan yang telah dilakukan. Selain itu, penilaian diri harus dilakukan dengan melihat kepada apa yang telah dilakukan dan bagaimana untuk memperbaikinya.

No comments:

Post a Comment