Thursday 30 August 2012

ISU PENYALAHGUNAAN MASA OLEH GURU



PENYALAHGUNAAN MASA OLEH GURU

Terdapat pelbagai isu yang timbul dan melanggar etika profesion perguruan. Masalah penyalahgunaan masa merupakan satu isu yang melanggar etika profesion perguruan kerana masalah ini kerap terjadi di kalangan guru. Masalah penyalahgunaan masa mungkin tidak terlalu serius tetapi jika dibiarkan berlanjutan, masalah ini dapat menjejaskan kredibiliti para guru. Ramai guru tidak menyedari hakikat ini. 
Masa adalah sangat berharga kepada manusia. Maka, di dalam Islam itu sendiri telah menyatakan bahawa manusia yang tidak menggunakan masa dengan betul adalah orang-orang yang kerugian. Tugas guru adalah sebagai penyampai ilmu pengetahuan. Sekiranya kita tidak cuba menerapkan kepentingan masa kepada murid, maka, kita sebagai guru boleh dikatakan tidak berjaya memberi satu ilmu yang amat berguna.
            Pepatah Arab ada menyebut bahawa masa adalah ibarat pedang. Jika kita tidak menggunakan untuk memotong, ia akan memotong kita. Pepatah Cina pula menyebut bahawa semua bunga yang bakal berkembang pada hari esok adalah benih pada hari ini. Sebagai guru, kita hendaklah menghargai masa yang diberikan kepada kita terutamanya dalam waktu persekolahan. Ada juga yang mengatakan bahawa bertangguh itu pencuri masa. Orang yang tidak tahu menggunakan masa pula dikatakan orang yang mati. Kesemua kata-kata hikmat di atas menunjukkan kepentingan masa yang perlu dihayati insan bernama guru.
            Mengikut Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 2/81 yang bertarikh 12 September 1981, semua Pegawai Perkhidmatan Pendidikan, kakitangan sekolah dan para pelajar dikehendaki berada di sekolah sekurang-kurangnya lima minit sebelum sekolah bermula. Surat ini juga memberi penekanan terhadap tanggungjawab guru untuk mengamalkan ketepatan masa sepanjang waktu bertugas di sekolah, semasa datang dan balik dari sekolah, ketika memasuki bilik darjah untuk mengajar dan semasa menjalankan sesuatu kegiatan di luar bilik darjah seperti kegiatan kokurikulum. Maksud ketepatan masa juga merangkumi keperluan guru untuk mengikut jadual pengajaran dan tidak dibenarkan meninggalkan kelas ataupun kawasan sekolah semasa tempoh persekolahan.
            Terdapat beberapa perkara yang perlu diambil perhatian oleh guru berkaitan pematuhan waktu dan masa. Semua guru dikehendaki menandatangani buku kedatangan sebaik sahaja tiba di sekolah dengan mencatatkan nama, masa sampai dan menurunkan tandatangan. Pada zaman yang teknologi kini, ada sekolah yang menggunakan ‘punch card’ atau menggunakan perisian komputer yang menggunakan pengesanan corak ibu jari sebagai bukti kehadiran. Guru Besar pula diberi kuasa mengizinkan guru meninggalkan kawasan sekolah sekiranya ada hal-hal tertentu dan mereka perlu mengisi buku catatan meninggalkan sekolah. Begitu juga jika terdapat hal yang memerlukan guru meninggalkan bilik darjah, kegiatan dan upacara rasmi sekolah dan aktiviti kokurikulum, guru perlu mendapat kebenaran dari Guru Besar.
            Pada masa senggang iaitu ketika guru tidak menjalankan aktiviti pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas, guru perlu melaksanakan beberapa perkara seperti memeriksa buku latihan dan kerja rumah murid dengan teliti, menulis buku ringkasan mengajar, menyediakan alatan dan bahan bantu mengajar, menguruskan hal ehwal kelas, menguruskan yuran murid, hal-hal kokurikulum dan sebagainya. Aktiviti-aktiviti yang dilakukan oleh guru pada waktu ini mestilah aktiviti yang memberikan faedah kepada murid-murid. Selain itu, guru juga diberi tanggungjawab untuk menggantikan guru lain untuk melaksanakan pengajaran dan pembelajaran.
Antara beberapa perkara yang membawa kepada penyalahgunaan masa yang sering dilakukan oleh guru sama ada secara disedari atau tidak disedari ialah guru lewat masuk ke kelas. Guru yang mematuhi ketetapan masa tidak menunggu loceng berbunyi untuk berjalan dari sesuatu tempat untuk ke kelas mereka. Mereka akan bergerak awal ke kelas dan kadangkala sanggup pula menunggu waktu guru lain habis di luar kelas. Sekiranya waktu pengajaran adalah berturutan, guru ini tergesa-gesa pergi bergerak dari satu kelas ke kelas berikutnya dengan penuh semangat. Maka, fenomena guru yang lewat masuk ke kelas akan menimbulkan isu penyalahgunaan masa. Bukan itu sahaja, sekiranya berlaku sebarang kemalangan di dalam kelas, guru tersebut harus dipersalahkan. ‘Mencuri masa’ adalah perbuatan yang tidak wajar bagi seorang guru.
            Seterusnya ialah guru tidak menggunakan masa yan terluang untuk membuat bahan dan alat bantu mengajar. Bahan bantu mengajar sangat penting dalam menyampaikan ilmu kepada murid terutamanya sekiranya guru ingin mengenalkan sesuatu konsep kepada murid.di zaman moden ini, pelbagai bahan dan alatan siap telah dibeli oleh sekolah untuk digunakan oleh guru. Malah, sumber internet juga kini menjadi sumber yang sangat efektif untuk digunakan oleh guru. Saya melihat isu ini sebagai sesuatu yang agak menyedihkan kerana guru sudah sedia maklum dengan tanggungjawab mereka. Bahan-bahan ini juga digunakan sebagai alat pentaksiran kepada murid untuk mengenalpasti tahap pencapaian murid terhadap sesuatu kemahiran. Kegagalan menyediakan alatan bantu mengajar juga menjadi isu penyalahgunaan masa senggang guru. Guru seharusnya menggunakan masa tersebut untuk memilih mana-mana alatan yang dibeli oleh pihak sekolah mahupun cakera padat yang dibekalkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia untuk digunakan di dalam kelas. Malah, guru juga boleh melayari laman web Eduweb tv untuk memuat turun mana-mana video untuk membantu pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Bukankan kesemua perancangan pengajaran ini memerlukan guru menggunakan masa senggang mereka?
            Penyalahgunaan masa yang seterusnya ialah guru tidak menggunakan pengetahuan dan kemahiran sepenuhnya untuk membantu murid. Rata-rata guru lepasan sijil dan diploma dilatih selama 3 tahun untuk menguasai ilmu dan kemahiran mengajar. Guru yang mengikuti Kursus Perguruan Lepasan Ijazah pula dilatih selama satu tahun. Pihak Bahagian Pendidikan Guru juga sering mengadakan kursus-kursus pedagogi mata pelajaran tertentu dengan tujuan untuk meningkatkan ilmu guru. Pengetahuan pedagogi membantu guru mengenalpasti kaedah terbaik untuk mengajar. Pengetahuan mengenai psikologi pula membantu guru memahami gelagat dan tingkahlaku murid. Namun, tidak ramai guru yang mengaplikasikan ilmu mereka akibat daripada tidak menggunakan masa mereka dengan baik untuk merancang sesuatu yang berguna untuk murid-murid mereka. Lebih menyedihkan, terdapat juga guru yang menolak arahan untuk menghadiri kursus dengan memberikan pelbagai alasan yang tidak munasabah sedangkan kursus tersebut berguna untuk meningkatkan ilmu dan kemahiran mereka. Ada pula guru yang menganggap menghadiri kursus hanya untum ‘makan angin’. Maka, mereka hanya mengikuti kursus sambil lewa dan tidak mendapat ilmu yang berguna. Akibatnya, Kementerian Pelajaran Malaysia kerugian dan tidak mencapai objektif pelaksanaan kursus akibat tindakan mereka yang tidak bertanggungjawab.
            Seterusnya ialah guru menggunakan masa terluang untuk bercerita dan berbual perkara yang tidak berkaitan dengan hal-hal kerja. Ada juga segelintir guru yang suka berkongsi cerita di luar hal ehwal kerja seperti hal-hal peribadi, gossip artis, hal-hal kemasyarakatan dan politik. Guru juga perlu mengambil tahu isu semasa tetapi adalah tidak wajar menggunakan masa mereka di sekolah dengan berkongsi cerita lain dan berbual-bual kosong. Sikap guru yang sebegini sebenarnya hanya merendahkan martabat mereka dan menimbulkan perspektif negatif dalam kalangan masyarakat. Alangkah baiknya sekiranya masa-masa senggang sebegini digunakan untuk menyediakan bahan bantu mengajar atau membaca buku-buku dan artikel yang berkaitan dengan pengajaran dan pembelajaran. Perbincangan tidak formal mengenai masalah pengajaran dan pembelajaran juga boleh dijalankan bersama Ketua Panitia dan rakan-rakan sejawat yang lain. Dengan cara ini, pelbagai idea dilontarkan dan guru mendapat faedah yang boleh digunakan untuk kebaikan murid-muridnya. Di dalam Islam juga, perbuatan mengumpat amat dikeji dan tidak disukai Allah.
            Penyalahgunaan masa berikutnya ialah guru menunda kerja, melakukan aktiviti yang tidak penting dan melakukan tugas sambil lewa. Ada juga segelintir guru yang tidak menggunakan masa dengan efektif. Mereka sering menunda sesuatu kerja sehingga menimbulkan sesuatu bebanan kepada mereka. Malah, di akhir waktu yang ditetapkan, guru merungut kerana berasa tertekan dengan bebanan yang disebabkan kealpaan mereka sendiri. Ada guru yang menggunakan masa terluang mereka dengan aktiviti membaca majalah kekeluargaan, membincangkan isu politik secara keterlaluan dan membincangkan hal kekeluargaan orang lain. Sikap sebegini mengundang pandangan yang tidak baik di kalangan murid dan ibu bapa. Sewajarnya, masa terluang sebegini digunakan untuk membincangkan masalah pengajaran dan pembelajaran murid atau membaca artikel-artikel mengenai pendidikan. Pengalaman dari guru-guru lain juga boleh dibincangkan. Guru seharusnya mempunyai motivasi intrinsik supaya guru dapat menggunakan sepenuhnya masa mereka ke arah kebaikan.
Dalam perspektif Islam, kerja adalah ibadah sekiranya kita mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan Allah. Di sini jelas menunjukkan bahawa kerjaya sebagai guru juga jika dilaksanakan dengan baik adalah diiktiraf sebagai ibadah. Namun, apakah guru lupa bahawa kelalaian mereka mematuhi ketetapan masaakan membuatkan ibadah mereka tersasar. Soal penyalahgunaan masa juga melibatkan isu halal dan haram. Tujuan kita menjadi guru adalah untuk memperolehi pendapatan berkat dan menyara keluarga. Selain itu, tugas sebagai guru adalah pendidik. Pada kesempatan yang ada inilah, guru seharusnya menggunakan peluang ini untuk mengajar bersungguh-sungguh dan mengelak isu penyalahgunaan masa.
            Kesan penyalahgunaan masa kepada pembangunan sahsiah guru ialah keberkesanan pengajaran dan pembelajaran tidak maksimum akibat kurangnya kualiti dan produktiviti. Kepimpinan melalui teladan tidak diaplikasikan. Guru adalah ‘role model’ murid. Maka, guru perlu menghayati slogan kepimpinan melalui teladan. Ini disebabkan oleh murid suka meniru perlakuan, memek muka, pakaian malah personaliti guru tersebut.
            ‘Kepimpinan Melalui Teladan’ merupakan slogan yang dilancarkan oleh Tun Dr. Mahathir bin Mohamad pada 19 Mac 1983. Slogan ini diwujudkan bagi menanam dan memupuk sifat kepimpinan yang berkesan bagi dicontohi dan diamalkan oleh segenap lapisan masyarakat. Selain itu, ia juga dapat menerap nilai kebertanggungjawab dan etika murni di kalangan kakitangan awam.
            Guru merupakan antara orang yang paling kerap mendampingi murid selain ibu, bapa dan ahli keluarga mereka. Malah, kebanyakan murid sering mendengar kata guru berbanding dengan ibu dan bapa mereka sendiri. Malah, mereka juga kerap bercerita kepada ibu bapa tentang kehebatan guru. Tetapi sekiranya guru mereka sering menghabiskan waktunya dengan perkara yang tidak berfaedah, apakah pula pandangan dan cerita yang akan didengari oleh ibu bapa mereka? Tentunya ini akan menimbulkan pandangan yang negatif dari pihak ibu bapa dan mengundang tanggapan yang negatif dari murid-murid juga.
Isu penyalahgunaan masa di kalangan guru-guru dapat diselesaikan jika guru mengkaji semula tingkahlaku mereka bagi mengenalpasti mengapa mereka menyalahgunakan masa mereka. Guru hendaklah menetapkan kehendak kualiti yang ingin dicapai. Dalam kes ini, kehendak kualiti tersebut ialah mengisi masa senggang mereka di sekolah bagi mengelakkan masalah penyalahgunaan masa. Bagi memenuhi identiti berjaya pula, mereka akan mengalami rasa cinta terhadap kerjaya mereka, rasa dihargai dan keperluan-keperluan psikologikalnya yang lain. Namun begitu, kadangkala guru perlu melawan identiti gagal mereka seperti personaliti tidak seimbang, kurang keyakinan diri dan cepat putus asa. Sebagai seorang guru juga, mereka bertanggungjawab dalam memilih keputusan dalam hidup mereka. Setiap pilihan yang mereka buat adalah berdasarkan kepada keperluan asas mereka. Namun harus diingatkan, bahawa setiap pilihan itu mempunyai beberapa risiko tertentu. Maka guru seharusnya memilih tingkahlaku yang efektif sahaja agar dapat membentuk identiti berjaya.
Secara keseluruhannya, guru perlu memahami bahawa penyalahgunaan masa adalah melanggar etika profession perguruan. Bukan itu sahaja, penyalahgunaan masa juga melibatkan hukum agama yang mengundang kepada rezeki yang halal. Sebagai guru, seharusnya kita menggunakan masa yang diperuntukkan kepada kita dengan perkara-perkara yang dapat memberi faedah yang berguna untuk pelajar-pelajar kita. Sebagai guru, kesedaran terhadap penyalahgunaan masa sangat penting dan perlu diberi perhatian.