RENCANA
Guru terbabit dadah, kurang disiplin tak
layak jadi pendidik
03/09/2012 - 04:05:18 AM Oleh Jami'ah
Shukri Cetak Emel Kawan
TERKEDU! Harapkan pagar, pagar makan
padi. Itu reaksi awal Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru
Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan, mengulas mengenai
kegiatan seorang guru lelaki menjual dadah dan pil khayal kepada pelajar di
sebuah sekolah menengah di Betong, Sarawak, baru-baru ini.
Tanya siapa saja, khususnya ibu bapa
pasti akan terus melenting menghamburkan kritikan pedas terhadap guru yang
sepatutnya jujur serta amanah bukannya menyeleweng daripada tugas serta
tanggungjawab hakiki mendidik pelajar menjadi insan cemerlang dan menyediakan
barisan pemimpin pada masa depan.
Lebih meningkatkan emosi amarah ibu bapa,
guru bukan saja terbabit dengan penagihan dadah malah, lebih buruk lagi
mengedar dadah untuk pelajarnya sendiri. Guru dianggap sebagai penjaga atau
pelindung apabila pelajar berada di pekarangan sekolah. Ibu bapa juga sudah
meletakkan harapan menyerahkan anak mereka kepada guru untuk ditunjuk ajar
menjadi orang berguna.
Seperti perumpamaan Melayu, jika guru
sudah kencing berdiri, pelajar pula akan kencing berlari. Dalam konteks ini,
guru sewajarnya menjadi pembimbing dan mengingatkan pelajar supaya menjauhi
najis dadah.
Hakikat diketahui ramai, apa saja yang
kesalahan dikaitkan dengan dadah, ia adalah jenayah berat. Kesalahan guru
terbabit dengan penyalahgunaan dadah tidak boleh dimaafkan kerana ia jelas
mencemarkan imej profesionalisme bidang perguruan dan menjerumuskan masa depan
serta potensi pelajar.
Walaupun statistik guru terbabit dengan
gejala penyalahgunaan dadah disifatkan kes terpencil, ia tetap kesalahan serius
kerana dadah musuh utama negara. Menurut laporan, pada Februari lalu, seorang
guru Sains Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di Rengit, Batu Pahat, berusia
31 tahun, ditahan polis selepas dipercayai mengedar dadah secara sambilan
kerana mahu menjalani hidup mewah dan bergaya.
Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri
Alimuddin Mohd Dom, ketika mengulas isu itu menyatakan, pihaknya tidak akan
bertolak ansur dan memberi pengampunan kepada guru yang didapati bersalah
menjalankan aktiviti pengedaran atau penagihan dadah kerana ia menjejaskan imej
profesionalisme perguruan.
Katanya, dadah adalah musuh nombor satu
negara kerana bahana daripada aktiviti itu boleh melumpuhkan masa depan
generasi pelajar yang bakal menjadi pemimpin negara. Masyarakat boleh terus
hilang kepercayaan terhadap peranan dan kredibiliti jika mereka dikesan
terbabit dalam penyalahgunaan dadah.
“Kita sudah ada piagam yang jelas dalam
Kementerian Pelajaran. Kita anggap penyalahgunaan dadah tidak kira membabitkan
guru atau pelajar adalah kesalahan serius. Jika guru yang patut menjadi idola,
tidak mempunyai tingkah laku dan disiplin yang bersih, bagaimana mahu mendidik
pelajar menjadi insan berguna dan cemerlang,” katanya.
Bagaimanapun, berdasarkan perangkaan,
guru yang terbabit dalam kes pengedaran dadah adalah terlalu kecil serta
dianggap kes terpencil jika dibandingkan 360,000 guru di seluruh negara.
Bagi PIBGN, pemimpin sekolah, khususnya
pengetua dan guru besar perlu bijak menangani dan mengendalikan guru dengan
memastikan mereka sentiasa berada pada landasan betul untuk terus meningkatkan
martabat bidang perguruan.
Pada zaman ini, peranan pihak pentadbiran
dan pengurusan sekolah semakin mencabar dalam pelbagai aspek termasuk berdepan
kebarangkalian terbabit dengan kes penyalahgunaan dadah amat tinggi sekali.
Prof Mohamad Ali mencadangkan supaya guru
terus dihentikan perkhidmatan sekiranya sah disabitkan kesalahan mengedar dadah
kerana ia menjejaskan kewibawaan institusi pendidikan di negara ini.
“Pada masa sama, kita mahu kepakaran guru
besar dan pengetua juga dipertingkatkan dengan kemampuan mengenal pasti
mana-mana guru bermasalah untuk membanteras gejala itu pada peringkat awal
lagi. Tindakan tegas perlu dikenakan kepada mereka untuk mengelak pelajar
menjadi mangsa.
“Guru yang terbabit dengan kes dadah,
tidak layak ada di sekolah. Dunia perguruan tidak memerlukan tenaga pengajar
yang begini. Mereka boleh menjadi duri dalam daging kepada pelajar. Kegiatan
guru mengedar dadah adalah sesuatu yang tidak dapat diterima akal,” katanya.
Penyalahgunaan dadah adalah isu yang
sangat besar dan memerlukan kerjasama daripada pelbagai pihak untuk
menanganinya dengan lebih holistik.
Sebenarnya sekolah adalah tempat yang
paling sesuai untuk memulakan kempen generasi ‘benci pada dadah’ kerana ia
dihuni oleh murid seawal usia tujuh tahun sehinggalah ke peringkat menengah.
Sasaran negara untuk bebas daripada dadah
menjelang 2015 seharusnya turut disahut oleh golongan pendidik di negara ini.
Justeru, peranan guru amat besar untuk menanam dan memupuk kesedaran terhadap
bahaya bahan itu kepada sistem kehidupan manusia.
No comments:
Post a Comment